Skip this ad x
Suzalina Halid dan Embun Majid


ACARA kemuncak festival hiburan dan inspirasi tanpa henti, Festival GegaRia 2018 #KitaOK yang berlangsung di Amanjaya Mall, dekat Sungai Petani, hari ini, berjaya mencapai sasaran mendekati dan berhubung dengan masyarakat.

Ia dapat dibuktikan menerusi jumlah kunjungan yang direkodkan mencecah ratusan ribu sejak ia dilaksanakan sejak Januari lalu.

Sungai Petani adalah lokasi ketujuh penganjuran Festival GegaRia 2018 #KitaOK yang sebelum ini berjaya menggegarkan enam bandar membabitkan Shah Alam, Selangor; Johor Bahru, Johor; Kuantan, Pahang; Ipoh, Perak; Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, pihaknya menghargai kunjungan masyarakat di Kedah yang sama-sama memeriahkan Festival GegaRia walaupun ia diadakan pada hari bekerja.

Beliau berkata, berikutan kejayaan penganjurannya sebelum ini, pihaknya berhasrat untuk meneruskan Festival GegaRia dengan acara berikutnya akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

“Di Kedah, saya nampak pengunjung tidak putus hadir walaupun Ahad adalah hari bekerja di sini, saya bagi pihak Media Prima Berhad dan NSTP mengucapkan terima kasih atas sokongan hebat ini dari Shah Alam hinggalah ke Sungai Petani.

“Kita akan berehat buat sementara waktu dan kembali menemui orang ramai sebelum hujung tahun ini dengan rakan niaga dan agensi kerajaan,” katanya.

Abdul Jalil berkata, bagi penganjuran akan datang pihaknya berhasrat untuk mengekalkan konsep sama namun mungkin menukar sedikit format bagi tujuan penambahbaikan.

Katanya, pihak penganjur akan mengadakan perbincangan untuk mengenalpasti kekurangan yang boleh ditambah baik supaya penganjuran akan datang mampu dijayakan dengan lebih hebat.

Meneruskan susun atur acara sebelumnya, Festival GegaRia #KitaOK di sini terbahagi kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan yang menawarkan pelbagai ‘food truck’; manakala Zon Throwback Tunnel pula platform bagi pengunjung menimba inspirasi mengenai perkembangan negara.

Selain itu, Zon Gaya Hidup membawa pengunjung mendengar sesi perkongsian berkaitan pengurusan kewangan di tapak #YouCanDuit dan mengikuti topik panas membincangkan isu, tips fesyen serta keibubapaan bersama pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari.

Turut diadakan sesi perkongsian fesyen dan kecantikan oleh Elfira Loy, Kesihatan daripada Hanif Shawn dan Dr Say, ‘Kata Serasi’ oleh Diana Danielle dan Naz Rahman, selain Noh Salleh yang mengacara satu sesi dalam Muzik dan Fesyen.

Festival GegarRia #KitaOK juga mengambil inisiatif berkhidmat kembali kepada masyarakat dengan mewujudkan Zon Komuniti membabitkan pelbagai aktiviti disediakan selama lapan jam untuk pengunjung termasuk semakan daftar pemilih dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Tarikan terakhir festival ini iaitu Zon Hiburan yang beroperasi sepanjang hari bermula dengan aktiviti zumba di pentas utamanya, diikuti permainan elektronik dan fizikal serta demonstrasi memasak bersama Chef Iwan.

Sebelum melabuhkan tirainya, acara penutup Festival GegaRia 2018 #KitaOK menyajikan konsert yang menampilkan selebriti terkemuka tanah air termasuk Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 6:24 PM
PENGUNJUNG yang hadir di Gegaria Fest Amanjaya Sungai Petani. FOTO Zunnur Al Shafiq