Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEMUA perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan mengalami gangguan waktu perjalanan antara 20 hingga 30 minit dari jadual asal disebabkan insiden kegelinciran tren KTM Komuter di Platform 4, Stesen Kuala Lumpur, kira-kira 1 tengah hari tadi.

Jurucakap KTM berkata, tren komuter dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang tergelincir ketika tiba di Platform 4, Stesen Kuala Lumpur.

"Setakat ini, punca kegelinciran tren berkenaan masih lagi dalam siasatan.

"Susulan insiden berkenaan Stesen Kuala Lumpur hanya beroperasi menggunakan platfom 3, untuk menurunkan dan mengambil penumpang KTM Komuter dan ETS," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khair Johari berkata, kerja-kerja baikpulih sedang giat dijalankan bagi mengalihkan tren berkenaan.

"KTM Berhad memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-2267 1200 atau layari laman web www.ktmb.com.my serta Facebook KTM Berhad dan Twitter @ktm_berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 6:28 PM
KEADAAN kereta api Komuter tergelincir di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
KEADAAN kereta api Komuter tergelincir di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Digital NSTP Subscribe