PASUKAN Maritim Malaysia bersama-sama bot nelayan tempatan menjalankan operasi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang selepas botnya tenggelam di perairan Pulau Mengalum, kira-kira 17 batu nautika dari Pulau Gaya, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Junaidi Ladjana


NELAYAN hilang selepas bot yang dikemudinya tenggelam di perairan Pulau Mengalum, kira-kira 17 batu nautika dari Pulau Gaya, Kota Kinabalu, pagi ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa ialah Husain Ishak, 23, warga Indonesia.

Difahamkan, mangsa bergerak dari Pulau Gaya menuju ke Pulau Mengalum untuk menangkap ikan seorang diri dengan menaiki bot, kelmarin, namun ketika tiba di lokasi tiba-tiba bot berkenaan tenggelam dan mangsa hilang.

Kejadian itu dimaklumkan pemilik bot yang melaporkannya kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 6.45 pagi.

Pengarah Maritim Malaysia Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata sebaik menerima maklumat berkaitan bot nelayan jenis lampu yang dilaporkan tenggelam, bot pihaknya dikerah ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sehingga kini operasi SAR masih dilakukan dan dilaporkan seorang lelaki berada di bot berkenaan.

“Bagaimanapun, setakat ini mangsa belum ditemui. Operasi SAR dibantu anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dan beberapa bot nelayan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 5:05 PM