Siraj Mohd Zaini


IBU tunggal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas dakwaan membuat laporan polis palsu pada tahun lalu.

Tertuduh Maya Ahmad Fuaad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak perempuan berusia dua dan lima tahun itu didakwa memberi laporan polis palsu kepada Koperal Hazarul Shahkifly Setia.

Laporan itu dengan niat menyebabkan anggota polis menggunakan kuasa mencedera atau menimbulkan kemarahan pemandu peribadi kepada bekas bapa mentuanya atau melakukan sebarang perkara tidak patut dilakukannya.

Berikutan itu, Maya didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Penyiasat Kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Asisten Superitendan D R Ghanthi Nathan @ Ben G.

Terdahulu, Ghanthi Nathan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM2,000 ke atas tertuduh dan pasport antarabangsanya diserahkan selain perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Peguam tertuduh, Eliena Rashid bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM500 kerana anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh siasatan.

Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 17 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 5:38 PM
MAYA (kanan) mengaku tidak bersalah atas kesalahan membuat laporan polis palsu di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat