Samsu bersama Rina selepas diumumkan sebagai calon. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Azrone Sarabatin
azrone@nstp.com.my

PAKATAN pembangkang mengumumkan ahli akademik, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat sebagai calon bagi kerusi Parlimen Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei depan.

Beliau dijangka menentang penyandang kerusi itu dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad mewakili PAS.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang digantung sementara pendaftarannya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp turut mengumumkan Ketua Srikandi PPBM, Rina Harun sebagai calon bagi kerusi Parlimen Titiwangsa.

Rina dijangka berhadapan penyandang dari BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon PAS yang belum diumumkan.

PPBM turut mengumumkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Sabirin Ja’afar akan bertanding di Parlimen Masjid Tanah yang sebelum ini disandang Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pengerusi PBBM Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof pula akan bertanding di Parlimen Alor Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 7:40 PM