KEADAAN banjir lumpur akibat hujan lebat di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Kampung Solok Paku, Terachi, Kuala Pilah, hari ini. FOTO ihsan bomba
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my


HUJAN lebat lebih sejam petang tadi menyebabkan banjir lumpur melanda sebahagian kecil kawasan pembinaan jalan di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Kampung Solok Paku, Terachi, Kuala Pilah.

Dalam kejadian 6 petang itu, laluan sepanjang kira-kira 50 meter dilitupi lumpur tebal mencecah 0.3 meter menyebabkan jalan itu terpaksa ditutup sepenuhnya, sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk lebih 10 kilometer di kedua-dua arah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni, berkata pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dipanggil untuk membersihkan jalan sebelum laluan itu dibuka semula jam 7 malam.

“Bomba menerima panggilan pada 6.36 petang apabila sebuah kereta terperangkap ketika cuba meredah lumpur. Pemeriksaan mendapati tiada mangsa cedera dan kami menolak kenderaan itu ke tepi jalan.

“Kami tidak dapat membersihkan laluan itu menggunakan pancutan air kerana lumpur terlalu tebal. Jalan itu hanya dibuka semula selepas JKR membersihkannya menggunakan jentolak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keadaan trafik di laluan itu masih perlahan (sehingga jam 8.45 malam) kerana masih terdapat sisa lumpur yang akan dibersihkan sepenuhnya oleh pihak kontraktor pembinaan jalan itu, pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 9:23 PM