Ameir menunjukkan senarai calon pakatan pembangkang.
Shahidan (kiri) adalah penyandang kerusi Parlimen Arau yang kali ini akan dicabar Hashim.
Hafizudin Mohd Safar
cnews@nstp.com.my

KERUSI Parlimen Arau bakal menyaksikan pertembungan dua tokoh iaitu Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dan Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei nanti.

Hashim diumumkan mewakili PAS akan mencabar Shahidan sekiranya kekal bertanding di kerusi itu.

Pada PRU-13, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menang dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan Timbalan Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan calon Bebas Zainudin Yom dengan majoriti 1,371 undi.

Seorang lagi pencabar iaitu Datuk Dr Abd Rahman Daud, 67, yang diisytiharkan mewakili pakatan pembangkang adalah bekas pensyarah universiti tempatan.

Pencalonannya diumumkan oleh Pengerusi gabungan pembangkang Perlis, Ameir Hassan hari ini.

“Abd Rahman pernah berkhidmat di sekolah di kawasan Arau selama hampir 10 tahun sekitar tahun 1970an dan 1980an sebelum meneruskan khidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan,” katanya pada majlis memperkenalkan calon-calon PRU-14 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diarahkan bubar sementara oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).


Ameir menunjukkan senarai calon pakatan pembangkang.

Ameir turut mengumumkan Izzam Ibrahim, 42, sebagai calon kerusi Parlimen Padang Besar.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pula, parti itu akan bertanding di lima kerusi.

Menurutnya, kerusi DUN Mata Ayer akan ditandingi oleh Leftenan Kolonel (Bersara) Azhar Omar, 57, DUN Kayang oleh Abdul Hannaan Khairy, 25 dan DUN Guar Sanji oleh Baridah Che Nayan, 53.

Sementara dua lagi kerusi DUN iaitu Tambun Tulang akan ditandingi oleh Maton Din manakala DUN Pauh akan ditandingi sendiri oleh Ameir sendiri.

Pada sidang media itu Ameir mengesahkan bahawa gabungan pembangkang Perlis sudah selesai pengagihan kerusi yang akan ditanding PRU-14 dan senarai penuh calon akan diumumkan secara rasmi pada 24 April.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 11:01 PM