ANTARA penduduk yang menerima beras ketika Program Kembara Beras Amal.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Membuat kebaikan tidak semestinya memerlukan banyak wang.

Itu yang cuba diterapkan Mohd Rizal Othman, 35, dan kenalannya apabila membantu golongan memerlukan terutama miskin bandar dengan cara tersendiri.

Dengan hanya menggunakan konsep potluck dan kumpul modal melalui uncang, mereka yang menetap di sekitar Pandan, di sini, bergerak dalam kumpulan kecil menyantuni golongan memerlukan di Lembah Klang.

Pengasas Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin itu berkata, segalanya bermula apabila setiap kali berkumpul, mereka mengadakan jamuan makan dengan membawa makanan masing-masing sebelum timbul idea mengubah aktiviti itu kepada kebaikan tanpa menggunakan modal tinggi.

“Dalam kumpulan kami, majoritinya adalah suri rumah yang tiada pendapatan, jadi kami terapkan aktiviti berkongsi rezeki tanpa menggunakan wang yang banyak.

“Aktiviti pertama kami ialah mengadakan majlis ulang tahun di sebuah rumah anak yatim di Keramat dengan menggunakan konsep potluck. Daripada situ, timbullah idea mengumpulkan barangan terpakai untuk disedekahkan kepada komuniti kawasan perumahan berpendapatan rendah,” katanya.

Menurutnya, Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin yang kini mempunyai 45 ahli berdaftar ditubuhkan pada 2016 selepas mereka melihat ada keperluan dalam membantu golongan memerlukan terutama miskin bandar.

“Setiap maklumat aktiviti yang kami buat dimuat naik dalam Facebook untuk mengajak masyarakat luar menyumbang. Ramadan tahun lalu, kami berjaya mengumpulkan beras hasil sumbangan orang ramai dan mengedarkan kepada asnaf di Lembah Klang.

“Kami juga bekerjasama dengan Food Aid Foundation dan Tesco Malaysia untuk mengedarkan roti percuma setiap Jumaat di sekitar kawasan flat, projek perumahan rakyat, kampung serta penuntut institusi pengajian tinggi di Lembah Klang,” katanya.


MOHD Rizal (empat dari kiri, bertongkat) bersama sebahagian ahli ketika program Kembara Beras Amal.

Mohd Rizal berkata, pada November tahun lalu, mereka memulakan Projek Kembara Beras Amal yang mendapat tajaan daripada sebuah syarikat korporat prihatin.

“Projek ini dianjurkan sebulan sekali dengan menjual 1,000 kampit beras lima kilogram pada harga hanya RM5 berbanding harga pasaran RM13 yang mana RM8 mendapat subsidi daripada syarikat berkenaan.

“Ada juga segelintir golongan sasar yang betul-betul daif menerima beras percuma tanpa perlu membayar RM5 hasil daripada sumbangan insan berhati mulia,” katanya.

“Besarlah harapan kami dapat mengadakan program ini secara konsisten setiap bulan dan mengembangkan lagi kepada golongan sasar jika kami terus mendapat sokongan individu mahupun syarikat korporat lain menaja projek itu,” katanya.


ANTARA ahli Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin selepas mengadakan program Kembara Beras Amal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:34 AM