SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan dalam Operasi Perdana. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun
cnews@nstp.com.my


ORANG Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran antara 38 suspek yang ditahan dalam Operasi Perdana yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu yang turut dibantu kakitangan AADK negeri serta daerah Dungun bermula Ahad dan berakhir hari ini.

Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu Hafiz Hassan berkata, suspek OKU terbabit berusia 23 tahun ditahan di rumahnya di kawasan Kuala Nerus, kira-kira 2 pagi Ahad lalu dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, suspek pertama kali ditahan dan siasatan mendapati suspek sudah enam tahun terlibat dalam penyalah gunaan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen (Ÿ˜”1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

"OKU berkenaan difahamkan bekerja sebagai pembantu kedai dan wang hasil gaji yang diperoleh dipercayai digunakan untuk membeli dadah. Tabiat suspek itu sudah diketahui ahli keluarganya sebelum ini.

"Dalam operasi tiga hari itu, sebanyak 42 tangkapan dilakukan, namun hanya 38 orang saja yang positif dadah jenis methamphetamine dan morfin, manakala kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 53 tahun," katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan risikan yang dilalukan pihaknya dan kawasan tumpuan iaitu di Batu Rakit, Gong Badak, Chabang Tiga dan bandar Kuala Terengganu.

Katanya, seramai 14 orang yang ditahan disiasat mengikut Seksyen (Ÿ˜”1) APD 1983 dan direman bagi membantu siasatan, manakala 24 orang lagi disiasat mengikut seksyen sama dan diberi jamin.

Hafiz berkata, pelbagai helah digunakan penagih bagi mengelak diambil tindakan selepas mereka ditahan dan ada yang sanggup membuang air besar serta kecil di tempat mereka dikumpulkan.

"Selain itu, ada juga yang berpura-pura sakit dan tidur 'mati' sehinggakan apabila dikejutkan untuk dibawa ke mahkamah, mereka enggan bangun dan tidak memberi kerjasama.

"Namun kita sudah lali dengan helah yang digunakan dan tetap melaksanakan undang-undang sedia ada bagi memerangi gejala dadah di daerah ini secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:18 PM