Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


SEORANG hilang, dua cedera manakala selebihnya selamat dalam tragedi kebakaran kapal sokongan pesisir minyak dan gas Ocean Geos, yang membawa 39 anak kapal di Perairan Kuala Baram, Miri, awal pagi tadi.

Muhammad Hafiz Ismail, 36, melecur 20 peratus di bahagian badan dan Khairul Isma Ismail, 35, luka di bahagian muka dan kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan.

Bagaimanapun, setakat ini, identiti mangsa yang hilang masih belum didedahkan, namun begitu mangsa disahkan sebagai rakyat Malaysia.

Pengarah Maritim Daerah Miri Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, sebuah bot PENGGALANG 23 dan KM SIAKAP milik APMM sudah dikerahkan ke lokasi bagi mencari mangsa dibantu kapal HISYAM 8 dan NEOPTRO 18.

Menurutnya, kebakaran di luar kapal berkenaan sudah berjaya dipadam, bagaimanapun, masih berlaku kebakaran di bahagian dalam kapal.

"Usaha untuk memasuki kapal berkenaan sukar berikutan terdapat gas beracun dan berbahaya,

"Namun begitu, usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan," katanya ketika sidang media di pejabat APMM hari ini.

Katanya, lima anak kapal adalah warga Indonesia, seorang warga Thailand manakala selebihnya rakyat Malaysia.

Kapal berkenaan dilaporkan terbakar selepas bilik enjinnya meletup kira-kira 3 pagi tadi dengan kedudukan kapal pada jarak 10 kilometer dari pantai Kuala Baram.

Operasi menyelamat dilancarkan pada 3.15 pagi tadi.

Berita berkaitan

Kapal Ocean Geos terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 12:27 PM
SEBAHAGIAN dari 39 anak kapal peninjau minyak MV Ocean Geos yang terbakar diselamatkan oleh kapal berdekatan di perairan Baram Alpha kira-kira 3 pagi tadi di Miri. FOTO Ihsan APMM