PENDUDUK bergotong-royong membina replika ECRL di Kampung Morak, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


PENDUDUK Kampung Morak di Tumpat bersengkang mata untuk menyiapkan replika tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai tanda penghargaan terhadap Kerajaan Persekutuan yang menyediakan kemudahan itu di negeri ini.

Tren berukuran 15 meter panjang dan tiga meter tinggi itu dibina oleh lapan penduduk kampung berkenaan sejak 10 hari lalu.

Lebih unik, replika yang menelan kos RM800 itu menggunakan bahan asas seperti buluh, papan lapis, kain, plastik dan dawai itu direka sendiri penduduk kampung iaitu Ramidin Ismail, 45.

Ramidin berkata, dia mengambil masa hanya beberapa hari untuk menghasilkan draf kasar ECRL itu selepas penduduk menyatakan hasrat mahu membina replika berkenaan.

“Kerja membina replika ini dilakukan pada waktu malam kerana pada siang hari kami bekerja dan bagi yang ada masa lapang (siang), mereka mencari bekalan buluh.

“Replika ini hampir siap sepenuhnya dan kerja akhir seperti mengecat akan dibuat kerana ramai yang tidak sabar untuk melihat hasilnya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat Wan Hanafi Wan Yaacob berkata, pemilihan replika ECRL dilihat bertepatan dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

“Pembinaan replika ini sebagai mesej kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) di mana kami berharap supaya projek (ECRL) ini dapat dilaksanakan demi kemudahan rakyat.

“Selain bakal meningkatkan taraf ekonomi rakyat, ia juga memudahkan perantau yang mencari rezeki di luar Kelantan untuk pulang terutama ketika musim perayaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:44 PM