SAMPAN milik Syafiq Shazwani (gambar kecil) ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Kapar, Klang, hari ini. FOTO Ihsan APMM
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my


“KALAU saya pergi kali ini, saya akan lambat balik.” Itu kata-kata terakhir penebar roti canai yang ketika keluar memancing sendirian di sekitar jeti Pengkalan Tok Muda, Kapar, Klang, kelmarin.

Kehilangan Syafiq Shazwani Mohamad Ishak, 30, selama lebih 32 jam terungkai apabila mayatnya ditemui terapung di laut, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada 7.50 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa yang menaiki sampan dipercayai terjatuh selepas dipukul ombak apabila ribut melanda kawasan berkenaan pada 11.30 malam.

Abang mangsa, Razali, 46, berkata anak kelapan daripada sembilan beradik itu sempat memaklumkan mahu memancing dan akan pulang lewat ketika dilihat kali terakhir di kedai makannya pada 6 petang.

“Dia (arwah) membantu perniagaan saya dengan menebar roti sejak 10 tahun lalu dan memberitahu hasratnya itu selepas habis bekerja.

“Antara jam 8 malam hingga 10.30 malam (Ahad), saya menghubungi telefon bimbitnya, namun tidak dijawab. Pada 11 malam, deringan langsung tidak berbunyi seolah-olah tiada talian.

"Keesokkan harinya (Isnin), hati saya semakin resah apabila dimaklumkan sampan dinaikinya ditemui nelayan di jeti berdekatan bersama beberapa barangan," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, arwah sejak kebelakangan ini dilihat amat periang dan peramah berbanding sikapnya yang agak tegas.

“Memancing sememangnya menjadi hobi arwah sejak kecil dan hasil tangkapan ikan akan dijual atau dijadikan sebagai lauk.

“Namun, sejam selepas kejadian, ribut melanda kawasan berkenaan dan tidak sangka perubahan dirinya menjadi petanda dia akan meninggalkan kami buat selamanya,” katanya yang reda dengan kejadian itu.

Katanya, jenazah Allahyarham yang masih bujang itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Muda, Kapar.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Klang Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, operasi pencarian dijalankan bersama beberapa agensi keselamatan lain selepas menerima maklumat awam pada jam 3 pagi kelmarin.

“Operasi hari pertama yang digerakkan sehingga 7 malam semalam, namun tidak berjaya mengesan mangsa.

“Bagaimanapun, mayat mangsa yang berpakaian lengkap ditemui pasukan bot rondaan pagi tadi," katanya memaklumkan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 5:07 PM