ABU Bakar Awang, 82, menunjukkan lesen B2 yang diperolehnya. FOTO Omar Osman
Omar Osman
cnews@nstp.com.my


“SAYA rasa lega kerana sudah ada lesen motosikal dan tidak lagi bimbang atau takut disaman jika bertemu polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata Abu Bakar Awang, 82, yang menerima lesen motosikal hari ini.

Abu Bakar dari Kampung Tikam Batu antara 817 peserta program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) dan My Prihatin yang dianjurkan JPJ.

Warga emas itu berkata, sudah lebih 15 tahun dia menunggang motosikal tanpa lesen, namun hanya untuk ke kedai, pasar dan masjid yang terletak tidak jauh dari rumah.

“Untuk pergi jauh dari itu saya tak berani kerana tiada lesen, malah anak juga melarang saya membawa motosikal keluar dari kawasan Tikam Batu kerana bimbang dengan keselamatan saya.

“Hinggalah awal tahun ini anak saya beritahu dia sudah mendaftar nama saya dengan JPJ bagi mengikuti program ini untuk mendapatkan lesen motosikal.

“Selepas beberapa kali menjalani latihan sejak awal tahun ini, saya bersyukur sudah lulus dan mendapat lesen motosikal,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima lesen B2 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Pengangkutan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Hadir sama Pengarah JPJ Kedah Ismasuhaimi Shariff.

Sementara itu, Ismasuhaimi berkata, seramai 8,955 peserta berusia 45 tahun ke atas dari pelbagai kaum di Kedah sudah mengikuti 26 program SKSJ sejak dilancarkan JPJ pada 2009.

“Seramai 201 peserta berusia 45 hingga 82 tahun mengikuti program SKSJ bagi peringkat Kuala Muda kali ini.

“Dalam program My Prihatin pula seramai 616 peserta berusia 16 tahun ke atas sudah lulus dan menerima lesen B2,” katanya.

Sejak sembilan tahun lalu, 140,099 peserta mendapat manfaat daripada program SKSJ melalui 313 program yang dilaksanakan di seluruh negara.

Manakala My Prihatin yang dilaksanakan awal tahun ini bagi membolehkan pelajar sekolah dari golongan miskin mendapat lesen memberi manfaat kepada 1,033 peserta di seluruh negara.

“Program SKSJ dan My Prihatin mendapat sambutan kerana bayaran yang dikenakan hanya RM190 untuk SKSJ dan RM200 untuk My Prihatin,” katanya.

Sementara itu mengenai tawaran mendapatkan nombor pendaftaran KEN 1 hingga 1999, Ismasuhaimi berkata, selepas dua hari dibuka sambutan yang diterima menggalakkan.

“Namun majoriti yang berminat mendapatkan nombor terbabit datangnya dari luar Kedah, tawaran masih dibuka sehingga 10 Mei ini,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama JPJ negeri menyampaikan surat penghargaan kepada pengamal media di negeri Kedah atas kerjasama yang diberikan kepada jabatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 5:59 PM