Posmen melintasi bendera BN yang menghiasi sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kota Selatan di Kota Bharu. FOTO BERNAMA
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

MANIFESTO Barisan Nasional (BN) Kelantan yang akan diumumkan Khamis ini bersifat menyeluruh selain memberi penekanan kepada semua aspek.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelancaran manifesto yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong bermula jam 9 malam itu dijangka dihadiri 20,000 penyokong dan jentera parti.

“Ini kali pertama kita melancarkan manifesto secara besar-besaran dan manifesto BN Kelantan bersifat inklusif selain mampu melonjakkan lagi prestasi kita.

“Tumpuan manifesto kita adalah anak muda, hal berkaitan infrastruktur, tanah, wanita dan agama. Kita berharap orang ramai dapat hadir pada majlis pelancaran nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media BN, di Kota Bharu, hari ini selepas mengadakan mesyuarat dengan jentera parti.

Pada masa sama, Mustapa berkata, calon PRU-14 juga sudah dimuktamadkan dan pihaknya yakin mereka yang terpilih adalah yang terbaik dan diterima rakyat.

“Kita juga menubuhkan satu jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bagi mengatasi masalah sekiranya timbul isu boikot sepanjang PRU berlangsung.

“Kita tidak boleh elak perkara berkenaan namun berharap masalah seperti itu tidak berlaku bagi memastikan proses PRU berjalan lancar,” katanya.

Mustapa turut mengakui ada perkara yang dilakukan Kerajaan Negeri Kelantan adalah bagus, namun pihaknya akan menambah baik perkara itu selain melaksanakan janji yang gagal ditepati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 6:27 PM