Abdul Hadi (tengah), Tuan Ibrahim (kiri) dan Takiyuddin akan tumpu kerusi Parlimen.
Mohd Iskandar Ibrahim dan Hidir Reduan

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya akan menumpukan kerusi Parlimen.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang turut memaklumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan beliau sendiri juga hanya akan bertanding di kerusi Parlimen.

“Nama-nama calon sudah dimuktamadkan dan PAS akan bertanding tidak kurang 160 kerusi Parlimen pada PRU-14 dan kita sedang memuktamadkan beberapa kerusi membabitkan pihak dalam gabungan Gagasan Sejahtera.

“Tidak lebih 10 calon akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN selain 35 peratus calon yang akan bertanding kelak terdiri daripada golongan muda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Takiyuddin berkata, pengumuman calon PAS akan dilakukan secara serentak di seluruh negara malam esok kecuali di Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Katanya, Pesuruhjaya PAS negeri akan membuat pengumuman terbabit di negeri masing-masing kecuali di Pahang yang akan diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS.

“Presiden PAS pula akan mengumumkan calon parti yang akan bertanding pada PRU-14 di Sarawak pada 21 April ini dan Sabah pada 22 April ini.

“Pengumuman calon di Kelantan pula akan dilakukan pada 25 April ini kerana masih terdapat perbincangan membabitkan beberapa kerusi di negeri itu,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, semua calon Gagasan Sejahtera akan menandatangani bai’ah pada PRU-14 yang tidak membabitkan lafaz perceraian talak tiga.

“Bagi pilihan raya kali ini, bai’ah diseragamkan dan kita tidak memasukkan lafaz perceraian talak tiga. Selain tindakan undang-undang, bai’ah ini adalah perjanjian antara diri kita dan Tuhan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan PAS tidak pernah menerima sumbangan RM90 juta daripada UMNO selain menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jahat.

“PAS adalah parti miskin dan tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak. Sumber kewangan parti datang daripada yuran keahlian selain sumbangan ikhlas individu.

“Saya cabar pihak yang membuat tohmahan dan fitnah ini supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar PAS menerima wang RM90 juta ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 4:18 PM