“Mujur saya sempat selamatkan ibu mentua yang lumpuh dengan bantuan beberapa jiran kerana api marak terlalu cepat dan hampir merebak ke rumahnya yang terletak bersebelahan.”

Mangsa, Zulkifli Sali Hamseth, 46, berkata, kebakaran rumahnya di Kampung Temiang, Seberang Pintasan, Dungun, menyebabkan dia dan isteri, Zainun Muda, 46, tinggal sehelai sepinggang, malah lebih memilukan tiga kucing peliharaan turut rentung dalam kebakaran 12.20 tengah hari tadi.

Zulkifli berkata, dia yang bekerja sebagai tukang cat keluar ke kedai, sebelum didatangi beberapa rakan memaklumkan rumahnya terbakar.

Beliau berkata, ketika kejadian isterinya yang bekerja sebagai pelayan kedai makan di Kampung Sura Hujung di Dungun berada di tempat kerja.

“Saya bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan mengenai kejadian dan dengan bantuan beberapa jiran segera menyelamatkan ibu mentua, Maimunah Ngah, 71, yang tidak mampu bergerak sendiri kerana lumpuh di rumah bersebelahan.

“Api marak terlalu cepat dan saya tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk dokumen penting yang disimpan di dalam rumah.

“Saya sangat terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan tiga kucing peliharaan dan hanya mendengar ia mengiau dengan kuat seolah-olah meminta tolong sebelum rentung dalam kebakaran itu,” katanya.

Zulkifli berkata, dia sempat memberi tiga kucing peliharaannya makan sebelum keluar ke kedai dan meletakkannya di tangga rumah.

Zainun pula berkata, dia bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan berhubung kejadian dan sangat sedih gagal menyelamatkan sebarang harta benda termasuk dokumen penting dan barangan kemas yang dibeli hasil simpanan bernilai RM10,000.

“Saya dan suami kini menumpang di rumah ibu buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 12.25 tengah hari dan sembilan anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan dan kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya sejam kemudian dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 7:40 PM
RUMAH Zulkifli hangus dalam kebakaran. FOTO Rosli Ilham
RUMAH Zulkifli hangus dalam kebakaran. FOTO Rosli Ilham