NOOR Hashim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan peralatan dan pelbagai barangan dirampas daripada suspek kes pecah rumah dan curi kenderaan pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, hari ini. FOTO Zain Ahmed
Rizalman Hammim


POLIS menumpaskan kumpulan pecah rumah dan curi kenderaan susulan penahanan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah restoran di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan 5.45 petang itu, polis turut merampas pelbagai barangan curi termasuk sebuah kereta Mercedes Benz, barangan kemas, jam tangan, telefon bimbit, beg berjenama dan beberapa keping nombor pendaftaran kereta, selain pelbagai peralatan digunakan untuk pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai rekod berkaitan dadah .

“Siasatan awal mendapati kumpulan dipercayai aktif sejak Januari lalu itu terbabit dalam sekurang-kurangnya 16 kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

“Kes pecah rumah disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, manakala kes kecurian kenderaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Noor Hashim berkata, sehubungan itu, polis mengesan dua lagi lelaki suspek iaitu warga Singapura, Md Azman Abdullah @ Irwanto Md Yasin, 40, dan lelaki tempatan, Wardihansahnasution Othman, 25, bagi membantu siasatan lanjut kes terbabit.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan enam suspek berusia 19 hingga 44 tahun selepas dipercayai membuat ugutan jenayah kononnya kawasan Kangkar Pulai di bawah jagaan mereka.

“Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, Jumaat lalu, suspek meminta nombor telefon majikan mangsa dan memaklumkan kawasan itu adalah kepunyaan mereka.

“Apabila mangsa enggan berbuat demikian, suspek mengugut akan datang semula dan membuat kacau," katanya.

Noor Hashim, susulan laporan mangsa, polis menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pulai Indah, dekat sini pada 1.50 pagi semalam.

Katanya, hasil soal siasat, polis menahan lima lagi rakan suspek di sekitar kawasan Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai dan Johor Bahru.

“Hasil siasatan awal, semua suspek mengaku pergi ke tempat kerja mangsa sebelum meminta nombor telefon majikannya serta memaklumkan kawasan terbabit kepunyaan mereka," katanya.

Noor Hashim berkata, empat suspek didapati positif penggunaan dadah jenis methamphetamine, selain tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah.

Katanya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, selain dua daripadanya turut disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan kerana dipercayai menganggotai pertubuhan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 8:45 PM