ABDUL Jalil (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rangka dan motosikal yang dirampas daripada dua geng curi kenderaan itu pada sidang media di IPK Melaka, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


DUA geng curi motosikal yang bermaharajalela di Melaka akhirnya tumpas selepas 10 ahli termasuk ketua kumpulan itu ditangkap sepasukan anggota Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, sejak Mac hingga awal bulan ini.

Geng Firdaus Bachang dan Geng Ah Seng dengan ahlinya berusia antara 19 hingga 32 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan termasuk di Pahang antara 13 Mac hingga 9 April lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata susulan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 35 kes curi motosikal dan satu pecah rumah.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan ketua Geng Firdaus Bachang dikenali sebagai Firdaus berusia 25 tahun bersama pengikutnya berusia 20-an di Bentong, Pahang pada 4.45 petang 12 Mac lalu.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis menahan enam lagi ahli geng berkenaan dan kini sedang memburu dua lagi lelaki bagi membantu siasatan.

“Firdaus yang baru bebas dari Penjara Sungai Udang, empat bulan lalu atas kesalahan curi motosikal dan dadah ditahan bersama rakannya selepas dikesan terbabit dalam satu kes kecurian motosikal di Pahang.

“Polis turut merampas sebuah kereta, tiga motosikal, enam rangka dan sebuah enjin motosikal susulan penahanan suspek,” katanya pada sidang media di IPK Melaka, hari ini.

Abdul Jalil berkata, polis turut menahan dua ahli Geng Ah Seng termasuk ketua kumpulan itu berusia 32 tahun di sebuah rumah di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, pada 2.50 petang 29 Mac lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu beroperasi di sekitar daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

“Susulan tangkapan itu, polis merampas 11 motosikal pelbagai jenama dan sebuah televisyen di kawasan ladang khinzir, ladang kelapa sawit dan kawasan industri di Paya Mengkuang, sekali gus berjaya menyelesaikan 12 kes curi motosikal dan satu kes pecah rumah di negeri ini.

“Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 9:28 PM