ANTARA bukti yang diterima Persatuan Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Bayar dan terima lesen secara pos. Tawaran itu diberikan sindiket didalangi individu dikenali sebagai Cik Wan kepada penduduk di utara tanah air yang ingin mendapatkan lesen terbang dengan hanya perlu menunggu di rumah.

Mendakwa ia didaftarkan secara terus di dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, terdapat tujuh kelas lesen yang ditawarkan pada harga RM390 hingga RM660 dan pemohon hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan depan dan belakang, gambar berukuran pasport, tandatangan serta alamat lengkap untuk tujuan pengeposan.

Pengerusi Persatuan Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, biarpun taktik sindiket terbabit sebelum ini sudah didedahkan, namun ia tidak menjejaskan mereka malah terus mempromosikan lesen terbang di media sosial seperti Facebook.

Katanya, dalam tempoh tiga minggu lalu, beberapa pendedahan sudah dibuat PPJK termasuk yang disiarkan di akhbar ini, namun mereka seolah-olah tidak takut dengan peraturan dan undang-undang negara.

“Selepas kita dedahkan baru-baru ini, ramai yang tampil memberikan maklumat dan semuanya sudah kita salurkan kepada pihak berwajib. Tetapi pada masa sama, mereka (sindiket) terus menjalankan operasi dengan lebih rancak.

“Kalau sebelum ini iklan di Facebook untuk ambil deposit, kali ini mereka sertakan bukti dan testimoni individu yang menggunakan khidmat mereka. PPJK akan mengadakan perbincangan dengan JPJ dalam masa terdekat kerana ia isu besar,” katanya.

Mohammad Hisham berkata, dalam kes terbaru, seorang lelaki mengadu kepada PPJK bahawa dirinya mungkin menjadi mangsa penipuan sindiket untuk mendapatkan lesen tanpa menduduki apa jua bentuk ujian seperti mana sepatutnya.

Lelaki berkenaan merasa janggal apabila memikirkan begitu mudah untuk mendapatkan lesen sedangkan orang lain perlu menduduki ujian bagi memiliki lesen memandu berkenaan.

“Kita sudah beri penerangan kepadanya mengenai prosedur operasi standard. Saya juga terkejut apabila mendapati ramai yang berurusan dengan sindiket ini. Ia juga menimbulkan kekeliruan kepada orang lain kerana langkah yang diberikan sangat mudah,” katanya.

Menurutnya, satu pertemuan akan diadakan dengan pihak berwajib dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian kepada isu terbabit dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh ‘orang dalam’ yang mengetahui sistem sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 4:29 AM