DADAH dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah kelab malam dan kondominium di Kuching, kelmarin. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Bandaraya Kuching dengan penahanan tiga pelayan pelanggan (GRO) warga China, kelmarin.

Suspek berusia 28 hingga 33 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dalam serbuan bermula 6.30 petang di sebuah kelab malam di Jalan Tun Jugah dan kondominium di Jalan Stampin Tengah, Kuching.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, dalam operasi khas itu polis merampas pil ekstasi, ketamin, ganja dan serbuk jus buah mengandungi ekstasi dengan nilai keseluruhan RM38,000.

Menurutnya, penahanan pertama dilakukan terhadap suspek, 33, di kelab malam itu sebelum polis dibawa ke bahagian simpanan barang wanita terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai dadah antaranya ketamin, ekstasi, ganja dan jus buah mengandungi ekstasi yang disimpan di dalam almari terbabit.

“Lanjutan daripada serbuan itu, polis menyerbu kondominium yang juga rumah sewa suspek dan merampas ketamin serta jus buah mengandungi ekstasi selain menahan dua wanita lain,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Difahamkan, suspek menjadikan pelanggan kelab malam tempat mereka bekerja sebagai pelanggan untuk menjual bahan terlarang itu sejak beberapa bulan lalu.

Sahar berkata, polis turut merampas Toyota Wish dan wang tunai RM18,146.

Katanya, suspek yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

“Dengan penahanan suspek, polis yakin sindiket pengedaran dadah di bandar ini dapat ditumpaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 12:53 PM