AKSI suspek kes ragut yang berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Morten, Melaka. FOTO Ihsan FB Denai Hati. Mohd Nor Yhazid (gambar kecil). FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


SELEPAS video kejadian ragut tular di media sosial sejak malam kelmarin, seorang lelaki akhirnya ditahan polis di Kampung Morten, semalam.

Suspek, 27, ditahan di rumahnya pada 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, tangkapan dilakukan selepas suspek disyaki meragut seorang wanita ketika menunggang motosikal berhampiran bulatan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, pada 11.20 pagi kelmarin.

Katanya, suspek mengaku dirinya adalah pelaku dalam rakaman video itu, dan siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Polis turut merampas semula beg tangan, dompet, dua kad ATM, lesen memandu mangsa, selain baju serta seluar yang dipakai oleh suspek ketika meragut.

“Siasatan juga mendapati, motosikal Honda EX5 yang digunakan suspek ketika kejadian adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Tengkera.

“Suspek direman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa menunggang motosikal Demak dengan dibonceng pekerja wanita warga Indonesia dari sebuah kilang di Batu Berendam menuju ke sebuah klinik panel di Taman Merdeka.

Sejurus tiba bulatan berhampiran LTAM, beg tangan mangsa diragut sebelum dia cuba mengejar lelaki itu seperti dipaparkan dalam rakaman video yang menjadi tular di laman sosial.

Mengikut rakaman video berdurasi 23 saat itu, pembonceng motosikal berkenaan merakam video ketika mangsa mengejar lelaki terbabit, namun gagal dikesan.

Akibat kejadian itu, mangsa kerugian lebih RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:12 PM