NIK Azmi ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Nor Azura Abdul Jalil


KOPERAL polis dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berhubung Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di laman Facebook miliknya, dua tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor memutuskan demikian terhadap Nik Azmi Nik Mustapha, 40, selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu dalam keputusannya, Zaman berkata, terdapat lompongan dalam kes pendakwaan apabila tiada keterangan daripada Kelab Suara UMNO untuk membuktikan fakta berkaitan posting yang dikatakan dimuat naik oleh OKS.

Selain itu, mahkamah juga mendapati elemen menyakitkan hati tidak dibuktikan kerana tiada saksi dipanggil memberi keterangan berkaitan isu itu.

OKS yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul didakwa menggunakan aplikasi Facebook miliknya untuk memulakan penghantaran komunikasi palsu untuk menyakitkan hati orang lain pada 12 tengah malam, 12 Disember 2016.

Pautan itu kemudian dibaca melalui laman Twitter "Kelab Suara UMNO (M) @ Suara UMNO di Pejabat D5, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Jalan Hang Tuah pada 4.30 petang, 14 Disember 2016.

Nik Azmi didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum bawah seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pembabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa manakala OKS diwakili peguam Zulhazmi Shariff.

Sepanjang prosiding perbicaraan kes itu yang bermula pada 21 Mac lalu, pihak pendakwaan memanggil empat saksi untuk memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:28 PM