Pengunjung, Afidah Ahmad (dua dari kanan) menggunakan perkhidmatan kiosk ASNB ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat.
Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Seramai 13.4 juta pelabur dalam pelbagai Skim Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) menjadi penyumbang kejayaan cemerlang Permodalan Nasional Bhd (PNB) sejak 40 tahun penubuhannya.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, kejayaan cemerlang PNB sejak 40 tahun bukan secara tiba-tiba namun disumbangkan kepimpinan dan tenaga kerja yang amanah dan berdedikasi serta sokongan kerajaan dalam pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

“Selepas 40 tahun penubuhannya, PNB kini adalah syarikat pengurusan pelaburan terbesar di Malaysia dengan dana berjumlah RM280 bilion.

“Sebanyak 84 peratus daripada dana dalam PNB adalah daripada 13.4 juta pemegang unit yang memiliki 229 bilion unit dalam 12 dana unit amanah setakat 31 Mac 2018,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 (MSAM 2018) di Stadium Batu Pahat, di sini, semalam. MSAM 2018 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Abdul Wahid berkata, kejayaan PNB turut disumbangkan oleh impak pengurusan ekonomi dan dasar pembangunan pragmatik kerajaan yang membolehkan pertumbuhan kemakmuran serta kestabilan ekonomi secara mampan dicapai.

Katanya, sebahagian besar dana dikumpul PNB yang berjumlah RM280 bilion itu dilaburkan dalam syarikat tersenarai di pelbagai sektor termasuk kewangan, perladangan, hartanah, automotif, perkakas industri, minyak dan gas, pembuatan farmaseutikal, telekomunikasi, tenaga dan utiliti.

“Ini termasuk 10 syarikat strategik PNB iaitu Maybank, Sime Darby Plantation, Sime Darby Bhd, Sime Darby Property, SP Setia, UMW Holdings, UMW Oil & Gas, MNRB Holdings, CCM dan CCM Duopharma.

“PNB juga melaksanakan pelbagai inisiatif transformasi syarikat strategiknya pada 2017 yang terbukti berjaya meningkatkan nilai pasaran syarikat terbabit mencecah RM39.5 bilion.

“Ini membantu meningkatkan pendapatan bersih Kumpulan PNB sebanyak 16.8 peratus kepada RM17.7 bilion pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, susulan peningkatan pendapatan berkenaan, PNB sudah mengagihkan dividen sebanyak RM14.6 bilion tahun lalu.

“Terkini pada Mac lalu, PNB juga sudah menyalurkan agihan pendapatan berjumlah RM1.88 bilion kepada lima dana iaitu Amanah Saham Bumiputera 2, Amanah Saham Malaysia, Amanah Saham Gemilang (ASG) Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan.

“Dengan kejayaan cemerlang dikecapi, PNB akan terus melaksanakan mandatnya dalam sektor korporat, pemilikan ekuiti dan harta selain sentiasa berusaha untuk memberi pulangan yang kompetitif kepada pelabur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 3:44 AM