Otman hadir pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Otman hadir pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Invois pengubahsuaian dan menaik taraf sebuah banglo di Kajang berjumlah RM1.5 juta yang dikeluarkan atas nama bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS) Otman Arsahd dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ia dikemukakan melalui saksi ke-49 Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37, yang memberi keterangan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Norzilati Izhani Zainal beliau berkata, ia berdasarkan dokumen Laporan Kerja Projek Pengubahsuaian yang disita daripada rumah itu pada 17 Mac 2016.

Menurutnya, jumlah dibayar adalah RM1,428,850 dan jumlah belum dibayar RM123,012.70.

Perbicaraan semalam diteruskan dengan lebih banyak barang bukti dikemukakan untuk ditandakan sebagai bahan bukti pihak pendakwaan.

Beliau juga mengemukakan salinan resit bayaran insurans kereta Volkswagen Golf GTI bernombor pendaftaran WXA 92 atas penama Abdul Gafar Abdurahiman (tertuduh ketiga) yang dibayar bagi tahun 2014 dan 2016 iaitu RM3,614.66 dan RM3,280.59.

Asmawi juga mengemukakan pelbagai resit bagi penyelenggaraan dan pembelian aksesori kereta berjumlah lebih RM23,000 bagi kereta yang sama bagaimanapun bayaran semua atas nama anak kepada Otman.

Antara yang dikemukakan semalam adalah resit pembelian cincin berjenama Cartier berjumlah RM268,000 atas nama isteri Otman iaitu Mastura Annuar.

Sementara itu, pada prosiding di sebelah petang, Mahkamah dikemukakan lapan buku pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Bumiputera 2 milik Otman, Mastura dan dua anaknya yang berjumlah RM2,133,434.55.

Turut dikemukakan buku simpanan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Otman dengan transaksi terakhir pada 21 Disember 2015 dengan jumlah simpanan RM97,390.48 serta simpanan Tabung Haji berjumlah RM29,911.96.

Perbicaraan akan bersambung selama empat hari bermula 14 Mei depan.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 3:55 AM
Digital NSTP Subscribe