ANGGOTA bomba membantu mengalihkan motosikal yang menindih mangsa di tempat kejadian.
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Dua lelaki cedera termasuk seorang ditindih motosikal yang ditunggang mereka selepas terbabas dan terjatuh dalam parit di Jalan Sulaman berhampiran lampu isyarat Indah Permai, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 30-an cedera di anggota badan dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari 1Borneo ke Indah Permai dan sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mereka hilang kawalan lalu terjatuh dalam parit di kiri bahu jalan.

Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa terjatuh dalam parit dan seorang daripada mangsa ditindih motosikal berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu Christy Foo berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.50 pagi berkenaan mangsa tersepit akibat ditindih motosikal.

“Sebuah jentera dan kenderaan Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik (EMRS) bersama 11 anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba seorang mangsa tersepit akibat ditindih motosikal.

“Anggota bomba kemudian mengangkat motosikal yang menindih mangsa sebelum kedua-duanya dihantar ke HQE 2 menggunakan ambulans dan EMRS,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kemalangan itu tidak membabitkan kenderaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 5:22 AM