MASING (tengah) menunjukkan surat pemecatan Joseph Entulu daripada PRS pada sidang media tergempar di Kuching, malam tadi. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun bersama empat lagi pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS) dipecat daripada parti itu, malam ini.

Turut dipecat, penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak serta tiga Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Nyempah Sabot, Adriana Chumang Nyambong dan Edward Kurik.

Pemecatan mereka diumumkan Presiden parti itu Tan Sri Dr James Jemut Masing selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PRS.

Mengulas pemecatan itu, Masing berkata, Entulu yang juga Timbalan Presiden PRS dipecat kerana mengingkari keputusan parti untuk tidak mencalonkannya semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Selangau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Beliau (Entulu) juga membelakangi parti apabila membuat pengumuman terbuka bahawa beliau adalah calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan (kerusi) Selangau.

“Jelas beliau melanggar perlembagaan parti dan dengan itu beliau dipecat daripada parti berkuat kuasa serta merta malam ini,” katanya sambil menunjukkan surat pemecatan yang akan dihantar kepada Entulu, esok.

Masing berkata, pemecatan Nyalau yang juga Naib Presiden parti itu juga dibuat dengan alasan sama iaitu membuat pengumuman terbuka bahawa beliau akan bertanding sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Lubok Antu.

“Pemecatan Nyempah pula dibuat apabila beliau mengisytiharkan dirinya sebagai calon bagi kerusi Parlimen Julau (yang disandang Datuk Joseph Sallang Gandum), sedangkan parti tidak pernah mencalonkannya.

“Adriana Chumang dan Edward pula dipecat kerana bersubahat dengan Entulu serta Nyalau,” katanya.

Selepas mengumumkan pemecatan itu, Masing memperkenalkan dua calon muka baharu iaitu Rita Sarimah Insol yang akan menggantikan Entulu bertanding di Selangau, dan Robert Pasang Alam yang akan bertanding di Lubok Antu menggantikan Nyalau.

Beliau turut mengumumkan empat penyandang yang dikekalkan iaitu Datuk Joseph Sallang Gandum (Julau), Datuk Masir Kujat (Sri Aman), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rajang) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Kanowit).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 10:56 PM