GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI tergamak memukul kakaknya hanya kerana wanita itu enggan kembali semula kepada bekas suaminya dalam kejadian di Taman Cahaya, Jalan Pandaruan, Limbang, kelmarin.

Kejadian 8.30 malam itu menyebabkan wanita berusia 38 tahun itu lebam pada lengan kirinya.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, suspek berusia 33 tahun itu berbincang dengan mangsa agar kembali semula dengan bekas suaminya.

Menurutnya, cadangan suspek bagaimanapun tidak dipersetujui mangsa sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

“Suspek yang gagal mengawal emosi kemudian mengambil kerusi kayu di rumah berkenaan sebelum memukul mangsa.

“Terkejut dengan tindakan itu, mangsa bergegas keluar dari rumah sebelum membuat laporan polis kerana bimbang suspek akan bertindak lebih ganas dan mengancam keselamatannya,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Bukhori berkata, susulan daripada laporan yang diterima, polis kemudian menjalankan serbuan di rumah sama pada 11.30 pagi, semalam.

Katanya, serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang berjaya menahan suspek.

“Polis merampas kerusi kayu yang digunakan dalam kejadian itu, manakala suspek dibawa ke IPD Limbang untuk siasatan lanjut.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 11:29 AM