KRISHAN menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang disampaikan Naib Presiden (Akademik) OUM, Prof Dr Sha'ari Abd Hamid di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka. -Foto fail
Khairul Najib Asarulah Khan


WALAUPUN semakin berusia, A Krishan, 85, tidak pernah patah semangat untuk terus menuntut ilmu.

Bekas guru akaun yang berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Seremban pada April tahun lalu, kini meneruskan pengajian di universiti yang sama dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Krishan berkata, dia meneruskan pengajian di usia lanjut adalah untuk memanfaatkan masa terluang dengan mencari ilmu bagi kepuasan diri.

“Apabila tamat pengajian kelak, ia tidak mengubah masa depan saya sama ada dalam kerjaya atau sebagainya. Namun ia memberi kepuasan diri kerana sentiasa berfikir dan otak sentiasa aktif yang secara langsung memberi minda yang cergas,” katanya ketika ditemui di OUM, Seremban di sini, semalam.

Krishan yang mempunyai dua anak dan cucu itu berkata, sebelum melanjutkan pelajaran dia mengisi masa lapang dengan membaca buku berkaitan ekonomi, kesihatan, dan pembangunan.

“Apabila terbaca di akhbar mengenai tiada yuran pengajian dikenakan untuk pelajar yang berusia 75 tahun ke atas belajar di OUM, saya tertarik.

“Ditambah pula, kedua-dua anak saya yang berkhidmat sebagai peguam dan doktor memberi galakkan saya mendaftar pengajian pada 2014,” katanya.


KRISHAN (dua dari kiri) sedang belajar bersama rakan universitinya. -Foto KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

Menurutnya, setiap semesta dia hanya mengambil dua subjek walaupun pihak universiti menawarkan tiga atau empat subjek.

“Ini kerana subjek semakin sukar dan saya perlu memberi tumpuan, oleh itu saya hanya memilih dua subjek sahaja.

“Di dalam kelas juga, tiada perbezaan pembelajaran di antara pelajar dan saya bercampur dengan pelbagai usia terutama yang lebih muda berbanding saya,” katanya.

Katanya, jika diberi kesempatan selepas tamat pengajian dalam pengajian itu dia ingin mendalami bidang komputer.

“Saya ingin mengetahui teknologi maklumat kerana pada zaman saya tidak menggunakannya, jadi saya merasai seperti ketinggalan dalam bidang itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah OUM Seremban, Suzaimah Sulaiman berkata, pihaknya memberi potongan harga 50 peratus daripada yuran pengajian kepada pelajar berusia 60 hingga 74 tahun, manakala percuma bagi mereka yang berusia 75 tahun ke atas.

“Ini sebagai galakkan untuk mereka menuntut ilmu disamping menjadi perangsang kepada mereka yang lebih muda.

“Selain itu, orang kelainan upaya (OKU) turut diberi potongan harga sebanyak 50 peratus apabila ada dokumen pengesahan daripada pihak berkaitan yang mana mereka ini tiada ketetapan usia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 1:47 PM