Nor Azura Abdul Jalil


SERAMAI 18 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 08’ sejak tiga tahun lalu.

Mereka ialah R Nagarajan, R Ganesh, K Ron Raniel, K Baramuruli, V Anith Kumar, P Sharveswaran, R Alagendran Pillai, S Kanagadran, M Satish Varman, S Shashi Kumar, G Thiagu, S Pandian, C Navin Naidu, M Neriendran, V Shasi Kumar, B Seleveraj, M Parwin dan L Pravin Kumar.

Semua tertuduh berusia antara 19 hingga 38 tahun.

Mereka hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08 di Kuala Lumpur antara 1 Januari 2015 hingga 8 April lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum bawah subseksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor, manakala 11 daripada 18 tertuduh itu diwakili peguam Najib Zakaria, K Komagan, Yeoh Siang Thing, Harpal Singh, M Yoshini, K Muralidharan dan S Narasimhan.

Mereka juga tidak dibenarkan diikat jamin kerana ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dilihat mengawal di luar bilik bicara mahkamah dan meletakkan pita kuning polis untuk tujuan keselamatan.

Hanya beberapa ahli keluarga daripada setiap tertuduh saja dibenarkan masuk ke dalam galeri mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menahan ahli Geng 08 dalam Operasi Capital Kuala Lumpur (Op Capital KL) 2018 dari 28 hingga 30 Mac lalu.

Polis juga sedang memburu beberapa lagi ahli kumpulan itu yang aktif terbabit jenayah terancang di sekitar ibu negara sejak tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 5:43 PM
Anggota Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Bukit Aman mengawal kenderaan yang membawa 18 individu didakwa atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 08. FOTO NSTP/ASWADI ALIAS.