Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris (kanan) bersama pegawainya melihat sarang kelulut yang dirampas dalam serbuan di daerah itu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


PENJAWAT awam antara tujuh lelaki yang ditahan dalam dua tangkapan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian sembilan bongkah madu kelulut bernilai RM13,500 di Padang Terap.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Noh Idris berkata, tangkapan pertama membabitkan enam lelaki dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 20 1/2 Jalan Kuala Nerang, Padang Terap pada 9 April lalu.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 33 tahun itu yang juga penagih dadah ditahan pada 9.45 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

“Hasil pemeriksaan menemui sembilan bongkah kayu yang mengandungi sarang kelulut dan satu beg zip warna celoreng mengandungi satu straw lutsinar warna biru di dalamnya mengandungi serbuk dan ketulan kecil kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Selain itu, kita turut menemui satu peket kecil plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kecil jenis kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 1.38 gram," katanya pada sidang media di IPD Padang Terap, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut menemui beg warna hitam mengandungi Mykad milik penjawat awam terbabit dan satu botol plastik mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.58 gram.

Katanya, hasil daripada serbuan itu pihak polis menahan pembantu kesihatan berusia 28 tahun yang menetap di Kuala Nerang.

“Dia ditahan di sebuah bengkel jentera berat di Kampung Baru Kuala Nerang yang dipercayai menjadi sarang menagih dadah di daerah ini.

“Kita bertindak berdasarkan aduan daripada pengusaha kelulut yang mengadu kehilangan sarang kelulut dianggarkan bernilai RM13,500.

“Hasil siasatan, sarang madu kelulut yang dicuri dijual kepada pengusaha madu lebah kelulut di daerah ini yang tidak berdaftar dengan FAMA daerah Padang Terap,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati suspek utama kes kecurian madu kelulut itu terbabit dalam kes mencuri generator (power spray) yang turut berjaya diselesaikan.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamin.

“Siasatan menunjukkan suspek menjual sarang kelulut yang dicuri itu kepada pengusaha madu kelulut lain di daerah ini untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membeli dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 5:57 PM