PENGUNJUNG, Afidah Ahmad (tengah) mencuba perkhidmatan kios ASNB.
Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 berjaya merekodkan kehadiran 138,646 pengunjung dalam tempoh lima hari penganjurannya yang bermula sejak Khamis lalu.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, MSAM 2018 menerima sambutan yang menggalakkan seiring dengan sasaran pengunjung 150,000 orang.

Katanya, PNB yakin ramai pengunjung hadir pada baki dua hari ini apatah lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal merasmikan penutupannya, Rabu ini.

“Alhamdulillah, setakat 6 petang tadi, MSAM 2018 mencatatkan kehadiran 138,646 pengunjung walaupun hujan lebat hampir setiap hari.

“Kami yakin esok melepasi sasaran 150,000 pengunjung walaupun demam pilihan raya umum bermula.

“Kehadiran pengunjung di Batu Pahat yang menyokong MSAM 2018 ini amat menepati objektif ia diadakan sebagai program induk PNB untuk mendidik masyarakat supaya celik pelaburan dan kewangan menerusi skim dan unit amanah ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 (MSAM 2018) di Stadium Batu Pahat malam tadi.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Kira-kira 1,000 jemputan termasuk wakil dan kakitangan syarikat strategik PNB, wakil korporat serta petugas media menghadiri majlis makan malam itu.

Abdul Wahid menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Gerai Terbaik yang dimenangi Sime Darby Plantation dan Anugerah Gerai Popular yang diraih Malayan Banking Bhd (Maybank).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 3:44 AM