Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@nstp.com.my

Kuantan: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan tarikh 23 Mei depan sebagai sebutan semula kes sukarelawan meliwat dan melakukan gangguan seksual terhadap 10 pelajar lelaki sebuah pusat tahfiz di daerah ini sejak tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan memperoleh laporan perubatan semua mangsa dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Pihak pembelaan memaklumkan mereka hanya memperoleh laporan awal perubatan dan kecederaan pelajar tahfiz berkenaan serta belum menerima laporan lengkap mengenainya.


Nasrul dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili Datuk Syed Azimal Syed Abu Bakar.

Tertuduh, Nasrul Arman Ahmad, 41, dihadapkan ke mahkmah pada 22 Mac lalu dan didakwa dengan 38 pertuduhan meliwat serta melakukan seksual terhadap pelajar tahfiz berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan terhadap 10 pelajar lelaki berusia 12 hingga 17 tahun di sebuah pusat tahfiz dari Julai 2017 hingga Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 4:04 AM