ANGGOTA APMM menahan kapal kargo membawa 20 tan kelapa sawit ditahan di kawasan perairan Wallace Bay, di Tawau. FOTO/IHSAN APMM
Abdul Rahemang Taiming


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau menahan sebuah kapal kargo yang membawa masuk 20 tan buah kelapa sawit dipercayai secara tidak sah, hari ini.

Pengarah Maritim Daerah Tawau Kepten Maritim Romli Mustafa berkata, muatan buah kelapa sawit itu dianggarkan bernilai RM12,500 disyaki dibawa masuk ke Tawau dari negara jiran tanpa permit sah daripada Lembaga Sawit Malaysia.

Katanya, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang melakukan rondaan harian terserempak dengan kapal kargo berkenaan di perairan Wallace Bay, Tawau dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati seorang juragan warga Indonesia berusia 23 tahun berada dalam kapal kargo berkenaan dipercayai cuba membawa masuk muatan kelapa sawit ke daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Romli berkata, juragan dan kapal kargo itu ditahan lalu dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa meningkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan bahan komoditi itu.

Dalam pada itu, pihaknya mengalu-alukan penduduk untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752116.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 4:58 PM