ANTARA trak makanan yang terdapat di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat, Johor. FOTO STR/ ESSA ABU YAMIN
Mohamed Farid Noh


MINGGU Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadi medan kepada usahawan luar bandar menjana pendapatan tambahan sekali gus mempromosi produk kepada orang ramai.

Ini terbukti apabila medan trak makanan (food truck) yang disediakan PNB pada MSAM 2018 di Stadium Batu Pahat menerima sambutan hangat daripada pengunjung sejak hari pertama pada 19 April lalu.

Pelbagai makanan panas menyelerakan termasuk nasi kerabu, makanan Barat termasuk pizza dan burger, selain nasi kambing penyet berjaya menambat selera pengunjung sehingga memenuhi medan berkenaan hampir sepanjang masa.

Sebanyak 14 pengusaha trak makanan daripada komuniti Johor dan Melaka diberi peluang menjual produk makanan panas mereka kepada pengunjung bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sehingga MSAM 2018 berakhir esok dengan sewa tapak hanya RM300 selama seminggu.

Bagi peniaga nasi beriani gam Johor, Izuan Rahim, 32, penganjuran pameran pelaburan dan kewangan seperti MSAM 2018 membawa limpahan rezeki kepada perniagaannya.

“Alhamdulillah, trak makanan saya yang menjual nasi beriani gam menggunakan jenama Kawah Berapi menjadi tumpuan dan perhatian pengunjung MSAM di Batu Pahat yang mahu mencuba keaslian resepi makanan tradisi Johor ini.

“Pendapatan yang saya peroleh juga lebih daripada RM2,000 sehari atau terjual lebih 300 bungkus berbanding ketika berniaga trak makanan di lokasi tetap di Hutan Bandar, Johor Bahru,” katanya.

Sementara itu, pemilik trak makanan Mobile Cafe, Haziq Roslan, 21, berkata MSAM 2018 memberi peluang untuk memperkenalkan produk makanan popular Batu Pahat, Mee Racun, kepada pengunjung luar.

“MSAM 2018 ini menjadi platform utama untuk memperkenalkan keenakan masakan istimewa Batu Pahat kepada pengunjung, dan ternyata mereka tidak takut mencuba.

“Peluang ini membolehkan saya menjenamakannya ke seluruh negara jika ada rezeki,” katanya.

Pengunjung, Nurul Sofia Umairah Rosli, 18, dari Negeri Sembilan, berkata dia teruja mencuba pelbagai makanan yang dijual di medan trak makanan MSAM 2018 sejak hari pembukaannya, Khamis lalu.

“Medan trak makanan MSAM 2018 ini bukan sahaja sangat tersusun dan bersih, malah makanan yang dijual juga menepati selera ramai dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 5:52 PM