Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


SURI rumah kempunan untuk memiliki beg tangan berjenama mewah selepas ditipu wanita dalam urusan jual beli di laman media sosial sehingga mengakibatkan kerugian RM5,880.

Kejadian berlaku pada 11 April lalu ketika mangsa berusia 33 tahun berminat untuk membeli beg tangan jenama Yves Saint Laurent (YSL) selepas melihat di Instagram @mygrandluxeworld.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang tinggal di Kea Farm, Cameron Highlands kemudian memindahkan wang sebanyak RM5,880 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

"Bagaimanapun, Ahad lalu, mangsa menghubungi nombor telefon suspek, namun sudah disekat. Mangsa juga menghantar mesej melalui Instagram bertanyakan mengenai pembelian berkenaan.

"Namun suspek hanya menyuruh mangsa menunggu sahaja dan sehingga kini mangsa belum menerima beg berkenaan. Dia kemudian membuat laporan polis selepas berasa ditipu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, polis sudah mengenalpasti suspek yang terbabit dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua lelaki dipercayai ceti haram atau along ditahan polis ketika sedang meletakkan iklan pinjaman wang di pintu kenderaan di Lorong Tun Ismail, Kuantan, semalam.

Mohd Wazir berkata, anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah menyedari tindakan dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 21 tahun sebelum menahan mereka kira-kira 12 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta yang digunakan oleh dua lelaki berkenaan terdapat beberapa ‘bunting’ dan kertas pemberi pinjaman wang.

"Semua barangan berkenaan dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen," katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 10:55 AM