TINDAKAN pengawal keselamatan memuat naik kenyataan berunsur perkauman dan menghina agama dalam media sosial ditahan polis selepas dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Kota Sentosa, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TINDAKAN pengawal keselamatan memuat naik kenyataan berunsur perkauman dan menghina agama dalam media sosial mengundang padah apabila dia ditahan polis, petang semalam.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan polis 6.45 petang di Balai Polis Kota Sentosa selepas dipanggil memberi keterangan.

Mengesahkan penahanan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada penjawat awam pada 8.45 pagi semalam di Balai Polis Batu Kawa selepas terbaca kenyataan dimuat naik suspek menerusi Facebook (FB) miliknya.

Menurutnya, suspek memuat naik kenyataan yang mempertikaikan wang yang digunakan untuk membina masjid dan pusat tahfiz di kampungnya sedangkan penganut agama lain perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membina rumah ibadah.

Dalam kenyataan itu lagi dia mendakwa, pembinaan masjid dan surau di kawasannya seolah-olah tidak menghormati penganut agama lain.

Dev berkata, suspek bagaimanapun turut membuat laporan polis di Balai Polis Gita 9.15 malam, kelmarin dan mengakui memuat naik kenyataan yang tular itu.

Katanya, dalam laporannya suspek yang bekerja di kelab golf di daerah ini mengakui memuat naik kenyataan itu di bawah pengaruh alkohol.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman pagi ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Dev berkata, netizen dinasihatkan untuk tidak memuat naik komen dalam media sosial berunsur perkauman atau menghina agama sehingga menyebabkan suasana tidak harmoni selain tindakan tegas boleh diambil terhadap individu yang dikesan berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 1:14 PM