SEKUMPULAN wanita menunggu giliran membuang undi di tempat mengundi di Mersing, Johor pada pilihan raya umum 1955.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Atas dasar cintakan perpaduan dan keharmonian dua rakyat negara ini yang langsung tidak memiliki kepentingan politik mengajak orang ramai untuk mengenakan pakaian tradisional mengikut kaum masing-masing, ketika keluar mengundi pada 9 Mei depan.

Dua individu berkenaan Jay Subramaniam, 51, dan Tengku Elida Bustaman, 50, kini giat mempromosikan kempen Budaya Rabu di media sosial bagi menggalakkan rakyat Malaysia bersatu hati dengan memakai pakaian tradisional.

Jay berkata, dia membesar dalam keluarga yang mementingkan adat resam dan budaya serta biasa bergaul dengan rakan pelbagai kaum sejak kecil.

“Saya kerap melihat ibu mengenakan sari untuk ke pejabat, malah pada hari mengundi pun dia memakai pakaian tradisional masyarakat India.

“Malah, saya sendiri memiliki koleksi pakaian tradisional bangsa lain dalam jumlah banyak, seperti baju Melayu dan Samfu yang kerap dipakai pada musim perayaan,” katanya.

Juruhebah di sebuah pusat hiburan itu berkata, dia mahu mencipta kelainan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan mengangkat martabat pakaian tradisional yang menjadi identiti rakyat Malaysia sejak zaman-berzaman.

“Zaman sekarang pemakaian tradisional ini kurang popular, ia hanya dipakai pada musim perayaan atau bila ada majlis kenduri.

“Jadi, saya fikirkan alangkah meriahnya jika kita semua keluar beramai-ramai keluar mengundi dengan mengenakan pakaian tradisional.

“Idea itu dihebahkan menerusi muat naik posting (hantaran) di Facebook (FB) pada Ahad lalu, tak sangka ia diterima baik. Malah saya diperkenalkan kepada Tengku Elida yang menyuarakan idea sama,” katanya.

Sementara itu, Tengku Elida berkata, niat asalnya hanya memberi cadangan dan menggalakkan rakan maya di Twitter serta FB mengenakan pakaian tradisional ketika keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kalau kita tengok situasi di media sosial, saya rasakan pilihan raya kali ini agak tegang, ramai yang berbeza pendapat. Perkara itu tidak sepatutnya memecah-belahkan kita semua.

“Saya serius mahu jayakan kempen ini selepas menerima banyak maklum balas positif daripada netizen dan rakan memperkenalkan saya kepada Jay,” katanya.

Bekas personaliti TV3 itu berkata, mereka bersama seorang kenalan iaitu Jochebed Ling, mewujudkan laman komuniti Budaya Rabu di Instagram, FB dan Twitter bagi mempromosikan kempen berkenaan.


Tengku Elida

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 4:06 AM