AHMAD Zahid diiringi Mohamed Khaled (dua dari kiri) dan Abdul Wahid pada perasmian penutup di Majlis Penutup MSAM 2018, semalam.
Mohamed Farid Noh

Batu Pahat: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 yang melabuhkan tirainya semalam di Stadium Batu Pahat melepasi sasaran apabila merekodkan 200,168 pengunjung.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, jumlah pengunjung berkenaan direkodkan pada jam 5.30 petang semalam sebaik MSAM 2018 melabuhkan tirainya, sekali gus mengatasi jumlah pengunjung MSAM 2009 di Johor Bahru.

Katanya, MSAM 2018 bermula pada 19 sehingga 25 April menerima sambutan hebat masyarakat daerah ini dan sekitarnya walaupun dilangsungkan dalam keadaan cuaca hujan hampir setiap hari serta demam pilihan raya umum yang sedang melanda negara.

Beliau berkata, PNB amat gembira dan terharu atas sokongan padu pengunjung sehingga membolehkan sasarannya melebihi jangkaan.

“MSAM 2018 berjaya mencatat rekod baru pengunjung mengambil bahagian dalam pelbagai program dianjurkan.

“Ia sekali gus melepasi sasaran PNB yang menyasarkan 150,000 pengunjung walaupun tempoh penganjuran di Batu Pahat hanya tujuh hari berbanding 10 hari di Johor Bahru.

“Ini membuktikan orang Batu Pahat dan sekitarnya memang hebat kerana menyokong program berasaskan pelaburan dan pendidikan kewangan sebegini,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan MSAM 2018.

Majlis penutupan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Sementara itu, pada sidang media, Abdul Wahid berkata, PNB tidak menolak kemungkinan menganjurkan MSAM 2019 di peringkat daerah seperti dilakukan sejak tiga edisi lalu selepas menjelajah semua ibu negeri utama.

“MSAM 2016 diadakan di Tapah, Perak, MSAM 2017 di Temerloh, Pahang dan tahun ini di Batu Pahat, jadi kita tidak menolak saranan Timbalan Perdana Menteri untuk mengadakan MSAM 2019 di Bagan Datuk, Perak, namun ia memerlukan perincian lanjut,” katanya.

Abdul Wahid berkata, MSAM yang dianjurkan sejak 2000 itu memanfaatkan 5.7 juta rakyat negara ini dalam pelbagai program yang menerapkan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 4:10 AM