Loh  mengaku tidak bersalah memiliki pelbagai dadah  di sebuah rumah di Casa Tropicana, Januari lalu.
Loh mengaku tidak bersalah memiliki pelbagai dadah di sebuah rumah di Casa Tropicana, Januari lalu.
Sarah Zulkifli

Petaling Jaya: Pengasas rangkaian restoran Nyonya Colours didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas lima pertuduhan memiliki pelbagai dadah seberat 30.32 gram di sebuah rumah di Casa Tropicana, di sini, Januari lalu.

Tertuduh, Loh Sim Seng, 56, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Turut didakwa atas pertuduhan sama, rakantertuduh Ong Peck Hwee, 55, yang juga mengaku ti-
dak bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, kedua-duanya didakwa memiliki dadah ketamin dengan berat bersih 0.31 gram, pil Erimin 5 (0.02 gram), syabu (2.49 gram ) dan pil ekstasi (0.45 gram).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Casa Tropicana, Persiaran Tropicana, PJU3, PJ, pada 7.30 malam, 21 Januari lalu.

Bagi semua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksysn 12 (3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Manakala bagi pertuduhan terakhir, kedua-duanya didakwa memiliki dadah syabu anggaran berat 27.05 gram pada masa, tarikh dan tempat sama.

Dakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan maksimum lima sebatan.

Mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah menetapkan 11 Jun depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 4:19 AM