CUACA cerah di Kuala Lumpur. FOTO ARKIB NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


CUACA pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), esok diramalkan cerah pada sebelah pagi di hampir keseluruhan kawasan Parlimen di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Alui Bahari berkata, hanya empat daripada 222 kawasan Parlimen dijangka mendung dan mengalami hujan pada sebelah pagi.

Katanya, empat kawasan Parlimen itu adalah Semporna, Kalabakan, Silam dan Tawau, masing-masing di Sabah.

“Suhu pada hari penamaan calon di seluruh negara diramal sekitar 23 darjah celsius hingga 34 darjah celsius dengan keadaan cuaca cerah pada sebelah pagi di sebahagian besar kawasan Parlimen.

“Menerusi ramalan ini, proses penamaan calon pada sebelah pagi dijangkakan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan berdasarkan faktor keadaan cuaca,” katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sebahagian besar kawasan Parlimen seluruh negara dijangka akan mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang.

“Berdasarkan ramalan, hanya Terengganu sahaja akan mengalami cuaca cerah pada sebelah pagi dan petang,” katanya.

Katanya, ramalan lengkap keadaan cuaca di setiap Parlimen sudah dimuat naik pihaknya di laman web MetMalaysia sebagai rujukan kepada orang ramai.

Esok adalah hari penamaan bagi calon yang akan bertanding pada PRU-14 mewakili parti masing-masing membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bagi proses penamaan calon, tempoh masa bagi semua calon mengemukakan kertas penamaan bermula dari 9 hingga 10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 6:09 PM