ALAGAMAH Karuppiah, 65, diminta tampil di Mahkamah Tinggi Jenayah 5 Shah Alam sebagai saksi bagi perbicaraan kes bunuh di Sungai Way, Petaling Jaya, tahun 2014 pada 3 Mei ini. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA wanita warga emas diminta tampil sebagai saksi perbicaraan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Jenayah 5 Shah Alam pada 3 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, wanita terbabit, Alagamah Karuppiah, 65, diminta tampil ke perbicaraan berkenaan sebagai saksi.

"Orang ramai yang mengenali wanita terbabit diminta memaklumkan kepadanya bahawa dia adalah saksi penting perbicaraan kes bunuh di Sungai Way, Petaling Jaya, pada tahun 2014.

"Dia diminta tampil di Mahkamah Tinggi Jenayah 5 Shah Alam untuk perbicaraan kes berkenan pada 3 Mei nanti.

"Sebarang maklumat berhubung saksi terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Supari Muhammad di talian 017-9886660," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 40-an maut selepas dipercayai dibunuh adik lelakinya sendiri di rumah mereka di Sungai Way, kira-kira empat tahun lalu.

Susulan itu, pihak polis menahan adik lelaki mangsa berusia 30-an bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan saksi terbabit adalah ibu adik-beradik berkenaan yang gagal dikesan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 8:08 AM