TUN Dr Mahathir Mohamad adalah calon paling tua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). FOTO NSTP
ADIE SURI ZULKEFLI dan HAMZAH OSMAN
cnews@nstp.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad adalah calon paling tua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang berusia 93 tahun diisytiharkan sebagai salah seorang calon kerusi Parlimen Langkawi mewakili PKR yang akan mencabar penyandang Datuk Ir Nawawi Ahmad mewakili Barisan Nasional (BN).

Turut bertanding ialah calon PAS, Zubir Ahmad.

Pengumuman senarai rasmi calon-calon Parlimen Langkawi hari ini dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Langkawi Muhamad Arof Darus selepas tempoh bantahan ditutup semasa proses pencalonan pada jam 11.30 pagi tadi .

Dalam pada itu Nawawi yang akan mempertahankan kerusi itu untuk penggal kali kedua tidak gentar dengan cabaran daripada Dr Mahathir, tetapi pada masa sama tidak akan memandang remeh terhadap bekas pemimpin negara itu.

“Saya sudah lama bersedia dari segi mental dan fizikal, malah sama sekali tidak gentar dengan orang yang tiada kuasa.

“Saya yakin khidmat saya sebagai Ahli Parlimen selama satu penggal di sini akan dinilai secara adil oleh pengundi Langkawi dan kita jangka akan berjaya kekalkan kemenangan 3-0 bagi kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat,” katanya selepas selesai proses pencalonan di Pejabat Daerah Langkawi hari ini.

Nawawi memenangi kerusi itu pada PRU-13 lima tahun lalu selepas menewaskan calon PKR Ahmad Abdullah dan calon Bebas Marina Hussein dengan majoriti 11,861 undi.

Dr Mahathir adalah Perdana Menteri yang paling lama memegang kuasa dalam sejarah Malaysia iaitu selama 22 tahun sebelum melepaskan jawatan pada tahun 2004 dan kali terakhir beliau mengambil bahagian dalam pilihan raya umum adalah hampir 20 tahun lalu.

Beliau adalah anggota Parlimen BN Kubang Pasu sejak kawasan parlimen itu dibentuk pada pilihan raya umum 1974 dan berkhidmat selama lima penggal sehingga melepaskan jawatan Perdana Menteri pada tahun 2004.

Pengerusi gabungan pembangkang itu, Dr Mahathir bertanding di kerusi Langkawi dalam usahanya kembali ke Parlimen sebagai calon Perdana Menteri sementara pakatan pembangkang.

Pada 15 April lalu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Dr Mahathir akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi di atas tiket PKR, pada satu ceramah di Padang Mat Sirat.

PKR adalah parti yang dibentuk susulan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir pada tahun 1998, yang telah mencetuskan gelombang gerakan reformasi terbesar dalam sejarah negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 4:33 PM