SYAMSUL ditemani isterinya, Ungku Norhayati Ungku Abu Bakar selepas menyerahkan borang penamaan calon di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


“SAYA orang Sikamat dan sudah lebih 10 tahun menetap di sini, jadi tiada masalah untuk bertemu dengan semua pengundi kerana mereka mengenali saya,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Syamsul Amri Ismail.

Menurut penceramah bebas dikenali Syamsul Debat, 41, beliau tidak mencari populariti, tetapi mahu berkhidmat kepada masyarakat ketika membuat keputusan untuk bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

“€œSaya minta diberi peluang untuk membuktikan dapat memberikan perkhidmatan terbaik kerana sebagai penduduk, saya mahu membangunkan Sikamat dan membantu masyarakat di sini,” katanya.

DUN Sikamat menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Syamsul, Aminuddin Harun (PKR), Rahim Yusof (PAS) dan Bujang Abu (Bebas).

Bagaimanapun, Syamsul berkata, beliau akan bertanding secara berhemah dan setiap calon bertanding itu mempunyai kelebihan serta matlamat masing-masing.

“Siapa pun bertanding, mereka ada sebab sendiri tetapi saya akan buat terbaik dan pujuk pengundi untuk menginsafi supaya mereka membuat pilihan lebih baik kerana kesannya adalah untuk tempoh lima tahun mendatang dan kita mahu penduduk tidak tersilap membuat pilihan.

“€œPopular itu perkara lain, apa yang penting meyakinkan pengundi yang saya memang nak berkhidmat kepada mereka.

“Ramai tidak tahu saya orang Sikamat sedangkan sudah 10 tahun saya menetap di sini,” katanya selepas menghantar borang pencalonan di Dewan Serbaguna Wisma Negeri, Seremban.

Beliau berkata, selepas ini beliau akan berkempen dan bertemu penduduk bagi mendengar setiap permintaan serta apa yang diinginkan mereka selepas PRU-14 ini.

Menurutnya, setakat ini maklum balas diterima amat baik dan penduduk senang menerima kehadirannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 9:05 PM