ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas lori dipandunya terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan di Jalan Tuaran di Kampung Darau, Manggatal, Kota kinabalu. -FotoIHSAN BOMBA
Junaidi Ladjana


SEORANG lelaki terpaksa menahan azab lebih 10 minit akibat tersepit di tempat duduk selepas lori dipandunya terbabas lalu merempuh pokok di pembahagi jalan di Jalan Tuaran di Kampung Darau, Manggatal, dekat Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi itu, mangsa berusia 50 tahun cedera di beberapa anggota badan termasuk kaki kanannya.

Kejadian turut menyebabkan pemandu Perodua Myvi cedera selepas turut tersepit apabila kereta dipandunya gagal mengelak lalu merempuh belakang lori berkenaan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) menggunakan ambulans dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Lintas.

Difahamkan, ketika kejadian, lori itu dari arah Inanam ke Manggatal.


PERODUA Myvi yang terlibat dalam kemalangan, di Jalan Tuaran di Kampung Darau, Manggatal, Kota kinabalu. -Foto IHSAN BOMBA

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berat itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok di pembahagi jalan.

Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 30-an dari arah sama gagal mengelak dan merempuh belakang lori berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.24 pagi.

"Sebaik tiba, pemandu lori dan Perodua Myvi didapati terperangkap di tempat duduk pemandu masing-masing. Anggota bomba menggunakan jentera hidraulik untuk mengeluarkan mereka," katanya.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan, sebuah bas pelancong terbabas di kiri bahu jalan di Jalan Politeknik Kota Kinabalu, dekat Kota Kinabalu, jam 2.40 pagi tadi.

Difahamkan, pemandu dan dua pelancong yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 8:38 AM