Norasikin Daineh


DUA beranak nyaris lemas selepas kenderaan dinaiki mereka dibawa arus ketika melintas jambatan di sungai Kampung Bunga Raya, di Keningau, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Mauntchessington Melvine, 43, bersama anak lelakinya, Mohd Affiq, 10, menaiki Proton Wira dalam perjalanan pulang dari Keningau ke Kampung Bunga Raya.

Difahamkan, ketika melalui jambatan, air sungai melimpah dan menyebabkan kenderaan mereka hanyut dibawa arus sehingga kira-kira 50 meter.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.29 malam.

“Lapan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejar ke lokasi kejadian susulan maklumat sebuah kenderaan hanyut dipercayai dibawa arus sungai.

“Difahamkan, dua mangsa terbabit dalam kejadian itu, namun mereka dapat menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaan dan berenang ke tepi sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, kenderaan terbabit tenggelam ke dalam sungai dan operasi ditamatkan pada jam 10.07 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 11:53 AM