RUMAH Ikon Penyokong Bola Sepak Kedah, Zulkifli Hashim, 39 atau lebih dikenali sebagai Puaka Jerai, di Pekan Sungai Yan rosak teruk selepas dilanda ribut kira-kira jam 7.30 pagi tadi. FOTO STR/NUR SYAZWANA MANSOR
Nur Syazwana Mansor


LIMA rumah penduduk di Yan termasuk rumah ikon penyokong bola sepak Kedah, Zulkifli Hashim, 39 atau lebih dikenali sebagai ‘Puaka Jerai’ di Pekan Sungai Yan, Yan rosak teruk selepas dilanda ribut, jam 7.30 pagi tadi.

Difahamkan, antara kawasan yang terbabit adalah dua rumah di Kampung Pekan Sungai Yan, sebuah rumah di Kampung Batu 20, Teroi dan dua rumah di Pekan Yan.

Zulkifli ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar menghantar anak sulungnya, Nur Syazliana Umairah, 7, ke sekolah.

Dia berkata, isterinya, Nafisah Md Rozki, 36, pula berada di rumah bersama seorang lagi anak mereka, Muhammad Luqman Hakim, 4.

Katanya, apabila pulang semula ke rumah, dia terkejut apabila melihat bumbung rumahnya sudah tiada.

Menurutnya, isteri dan anaknya keluar berlindung di rumah saudara berdekatan, sejurus selepas kejadian.

"Saya bersyukur kerana isteri dan anak selamat,” katanya.

Sementara itu, Nafisah berkata, ketika kejadian, dia sedang mengemas rumah sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi angin kuat.

Menurutnya, tidak lama kemudian, bumbung rumahnya terangkat dan diterbangkan angin.

Katanya, dia kemudian segera membawa anaknya keluar untuk berlindung di rumah abangnya yang terletak berhampiran kediamannya.

"Saya kembali ke rumah dan melihat bumbung rumah saya sudah tiada.

"Semua perabot dan barangan di dalam rumah juga basah akibat terkena hujan," katanya.

Tambahnya, ini adalah kali ketiga rumah mereka dilanda ribut dan kali ini, adalah kejadian terburuk.

Seorang lagi mangsa dari Kampung Pekan Sungai Yan, Roshanina Saari, 29, berkata, dia dan dua anaknya, berusia satu dan empat tahun bernasib baik kerana tidak dihempap bumbung yang runtuh akibat ribut.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama dua anaknya sedang tidur di rumah tamu, manakala suaminya pula sedang bersiap untuk ke tempat kerja .

Katanya, secara tiba-tiba bumbung rumahnya runtuh bersebelahan tempat mereka sedang tidur lantas dia segera bangun untuk menyelamatkan diri dan anak.

"Saya dan suami segera membawa anak keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri dan bersyukur tiada antara kami yang cedera," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Pekan Sungai Yan, Naseriah Ali berkata, sebaik menerima maklumat, dia bergegas ke lokasi kejadian bagi melihat keadaan rumah mangsa.

Katanya, pihaknya akan memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa dan bantuan bencana akan cuba disalurkan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 12:02 PM