GAMBAR hiasan
Manorza Saraev


SEORANG lelaki warga India yang baru enam bulan bekerja sebagai kelasi kapal ditemui lemas di Sungai Batang Lassa, di Mukah, semalam, selepas dilaporkan terjatuh ke sungai berkenaan, Jumaat lalu.

Mayat Sudhakaran Sudeep, 28, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 1 tengah hari di kawasan hulu sungai berkenaan, tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, susulan laporan penemuan mayat mangsa, pasukan penyelamat bergegas ke lokasi.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Daro untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu-Daro, Deputi Superintendan Neil Beginda ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, majikan lelaki India itu juga sudah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

Pada kejadian pada jam 8.30 pagi Jumaat lalu, Sudhakaran dilaporkan hilang selepas tergelincir dari kapal dan terjatuh ke dalam Sungai Batang Lassa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 1:22 PM