MOHAMMAD Shaiful Bukhari, 25, pelajar Malaysia maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Pekanbaru, Riau, Indonesia. FOTO Ihsan pembaca
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


“HARI ini genap setahun ibunya meninggal dan semalam anak pula meninggalkan saya," kata Amat Saruna, bapa kepada Mohammad Shaiful Bukhari, 25.

Mohammad Shaiful yang berasal dari Kampung Muanad Satu, Beluran, antara dua pelajar Malaysia yang maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Pekanbaru, Riau, Indonesia, malam tadi.

Amat berkata, beliau menerima berita mengenai kemalangan anak pertamanya itu malam tadi dan jenazah Mohammad Shaiful dijangka dibawa balik ke Malaysia dan tiba di Kuala Lumpur, pada 6 petang ini.

Katanya, anaknya itu berada di tahun akhir pengajian dalam bidang syariah dan undang-undang di Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim PekanBaru Riau di Pulau Sumatera dan sepatutnya menggenggam ijazah pada Ogos depan.

"Besar harapan saya kepada arwah, namun Allah SWT lebih menyayanginya. Saya tidak dapat gambarkan kesedihan saya," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang waktu tempatan, Mohamad Shaiful dan Ameer Hakimi Azman, 20, yang menaiki motosikal dilaporkan terlanggar lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.

Mohamad Shaiful meninggal dunia ketika dirawat di Rumah Sakit Aulia pada 5 petang, manakala Ameer Hakimi berasal dari Pulau Pinang disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital berlainan, 5.35 petang.

Amat berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu pada Mac lalu ketika dia pulang bercuti di kampung sebelum kembali semula ke Indonesia pada 17 Mac.

Katanya, jenazah anaknya dijangka dibawa menaiki pesawat esok pagi ke Sandakan untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Muanad Satu, di sini.

Berita berkaitan

Dua pelajar Malaysia maut di Pekanbaru

Dalam proses bawa jenazah pulang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 3:49 PM