LOKASI kejadian seorang pejalan kaki maut ketika melintas jalan dalam kemalangan di Batu 1, Jalan Utara Sandakan, berdekatan bulatan Sung Siew. FOTO Ihsan pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


PEJALAN kaki maut ketika melintas jalan dalam kemalangan di Batu 1, Jalan Utara Sandakan, berdekatan bulatan Sung Siew, semalam.

Dalam kejadian 7 malam itu, Sabturiah Suap, 35, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Duches of Kent, Sandakan akibat parah pada beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, kemalangan membabitkan pejalan kaki wanita dan bas persiaran dipandu lelaki berusia 26 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika bas itu dalam perjalanan menuju ke bandar Sandakan dari kawasan Batu Lima, di sini,

"Sebaik tiba di lokasi kejadian dan berada di lorong kanan, tiba-tiba seorang pejalan kaki dipercayai melintas dari kiri jalan raya.

"Pemandu gagal mengelak dan terlanggar wanita berkenaan di bahagian hadapan bas. Selepas itu, wanita terbabit dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada 7.54 malam." katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati kawasan itu ada lampu jalan tetapi malap dan bentuk jalan lurus serta dua lorong. Selain itu, pemandu tidak disyaki mabuk namun sampel darahnya diambil untuk tindakan lanjut.

"Dalam masa sama, kita masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 6:13 PM