MOHAMAD
Nur Aqidah Azizi


Seremban: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak bercadang mengambil tindakan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kerana menganggapnya sebagai ‘budak-budak’.

Katanya, beliau tidak mahu membuang masa untuk melayan tuduhan pembangkang termasuk Rafizi yang jelas diada-adakan untuk merosakkan nama baiknya serta Barisan Nasional (BN).

Malah katanya, Ketua Pemuda UMNO yang juga calon BN Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sudah membuat laporan polis dan beliau percaya ia lebih daripada cukup.

Rafizi sebelum ini menuduh Khairy bersekongkol dengan Mohamad atas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang calon PKR DUN Rantau, Dr S Streram yang tidak mempunyai pas calon SPR untuk masuk ke pusat penamaan calon, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad mengakui, beliau sendiri kurang berpuas hati apabila namanya diisytiharkan sebagai pemenang tanpa bertanding bagi kerusi berkenaan berikutan kegagalan Streram mengemukakan kertas pencalonannya.

“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Rantau dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk dicabar calon lain kerana yakin pengundi di Rantau mengenali saya dengan baik selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 8:25 AM